Dewan Muslimat PAS Serdang

PENDAHULUAN

Kedatangan bulan Sya’ban amat dialu-alukan oleh umat Islam, kerana Sya’ban merupakan bulan yang mulia, bulan beribadah dan bulan untuk memperbaiki diri. Bulan Sya’ban itu terletak di tengah-tengah antara dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rajab yang merupakan bulan Nabi Muhammad s.a.w. diisra’ dan dimikrajkan Allah SWT, dan bulan Ramadhan merupakan bulan yang mewajibkan umat Islam berpuasa selama sebulan. Sya’ban juga satu daripada empat bulan yang dinyatakan Allah SWT sebagai bulan yang dihormati seperti firmanNya dalam surah at- Taubah ayat 36: Maksudnya: ” Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus “.

Menurut ahli tafsir, empat bulan yang dimaksudkan dalam kalimah ialah bulan Rajab, Sya’ban, Ramadhan dan Muharram. Imam at- Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., apabila tiba bulan Rajab, baginda Rasulullah s.a.w. berdoa supaya diberkati bulan tersebut dan bulan Sya’ban serta Ramadhan berikutnya doa baginda: Maksudnya:” Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rajab dan Sya’ban, dan sampaikan (hayat) kami, kepada bulan Ramadhan “.

BID’AH
Terdapat segelintir pihak tertentu mempertikaikan amalan yang lazim dilakukan umat Islam di Malaysia pada bulan Sya’ban, contohnya seperti amalan puasa sunat Sya’ban, membaca surah Yasin 3 kali diselangi doa tertentu pada malam Nisfu Sya’ban, solat sunat malam Nisfu Sya’ban, kerana tiada nas dari al- Quran dan hadis menyuruh berbuat demikian.
Mereka berpendapat amalan seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, ia adalah amalan yang diada-adakan atau direka-reka. Perbuatan mengada-adakan amalan yang tidak pernah dilakukan atau diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w adalah bid’ah . Tiap bid’ah adalah sesat dan masuk neraka.

Pendapat mereka berdasarkan hadis dalam sahih Muslim yang diriwayatkan daripada Jabir r.a., Nabi s.a.w. bersabda dalam khutbah baginda: “Tetaplah kamu dengan suruhan dan sunnah para khulafa’ ar- Rasyidin serta berpegang teguhlah padanya. Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat. Setiap yang sesat akan masuk neraka”.

Amalan yang didakwa bid’ah lagi seperti membaca Yasin pada malam Jumaat, Sambutan Isra’ Mikraj pada 27 Rajab, Sambutan Maulud Rasul pada 12 Rabiul Awwal, bacaan tahlil dan doa kerana kematian, wirid dan doa selepas solat lima waktu kerana amalan seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

SUNNAH
Sebahagian besar umat Islam di Malaysia yang menerima saranan dan pengajaran dari guru-guru dan orang tua mereka, memperbanyakkan amalan dalam bulan Sya’ban. Ia berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: ” Bulan Rajab adalah bulan Allah dan Allah telah melebihkan darjatnya dari segala bulan seperti halnya kelebihanku atas segala makhluknya, Sya’ban itu bulanKu dan Allah telah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanKu atas segala nabi-nabi,dan Ramadhan pula adalah bulan umatKu dan Allah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanKu atas segala umat “.

Hadis ini menjelaskan tentang kelebihan tiga bulan termasuk bulan Sya’ban. Oleh itu, masyarakat Islam di Malaysia memperbanyakkan amalan pada bulan ini dengan membuat berbagai aktiviti ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti puasa, solat, membaca al- Quran, berdoa, bersedekah, bertahlil, berwirid dan sebagainya.
Mereka yang sudah sebati dengan amalan tersebut terus melakukannya kerana mereka melihat kepada pengisian ibadah pada bulan atau hari tersebut tidak bertentangan dengan syariat Islam. Semua amalan diyakini baik bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Antara contoh amalan yang dilakukan mereka yang dianggap sunnah Rasulullah s.a.w.;

1. Puasa sunat
Mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. membanyakkan puasa di bulan Sya’ban.

2. Membaca surah Yasin
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya membaca al- Quran. Setiap huruf diberi dengan ganjaran pahala berganda. Surah Yasin adalah satu daripada surah dalam al- Quran.

3. Berdoa
Nabi Muhammad s.a.w.mengatakan bahawa doa itu senjata orang mukmin. Allah SWT memerintahkan hambaNya berdoa nescaya Allah SWT memperkenankan doa mereka.

4. Mengadakan majlis kenduri
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan bersedekah dan mengeratkan silaturrahim. Kenduri juga merupakan perhimpunan sanak keluarga.

5. Bertahlil
Kerana berpendapat tahlil itu mengandungi bacaan dari ayat al- Quran, zikir berdoa dan bersitighfar mohon keampunan Allah SWT terhadap keluarga yang meninggal dunia agar dicucuri rahmat ke atas rohnya.

Tegasnya, amalan-amalan tersebut tiada larangan melakukannya pada bulan Sya’ban, tiada pula disunatkan kerana bulannya, hari atau malamnya, tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunnahan ibadah tersebut. Al- Hafiz bin Rejab (r.a) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al- Ma’aarif tentang isu ini- setelah membincangkan secara panjang lebar-

Malam Nisfu Sya’ban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Syam antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut.
Terdapat beberapa hadis Rasulullah s.a.w. mengenai fadhilat dan kelebihan bulan Sya’ban.

Antara hadis-hadis tersebut; Usman bin Zaid menceritakan : ” Saya telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., wahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Sya’ban; lalu baginda menjawab, itulah bulan Sya’ban di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan; ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya (baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan an- Nasai)

Aisyah r.a. menceritakan, Rasulullah s.a.w. telah bersabda;
Maksudnya: ” Sesungguhnya Allah Ta’ala turun pada malam pertengahan (nisfu) Sya’ban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang yang lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb”.
(Hadis riwayat at- Tirmizi dan Ibnu Majah)
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, maka pada malam tersebut berjagalah kamu dengan mendirikan solat, beribadah dan berpuasa pada siangnya”. Allah SWT berfirman, ” Sesiapa yang meminta ampun maka Aku mengampunkannya.

Oleh kerana bulan Sya’ban adalah bulan yang mulia di sisi Allah SWT di mana amal ibadah kita diangkat kehadrat Allah SWT maka sewajarnyalah sepanjang bulan itu diisikan dengan amal ibadah sunat dan taqwa kepada Allah SWT. Di antara amal ibadah itu ialah bertaubat, berselawat ke atas Nabi, berzikir, bertasbih dan sebagainya.

Pada malam Nisfu Sya’ban mereka membaca surah Yasin (3 kali), sama ada secara individu atau berjamaah diikuti dengan doa selepasnya.

1. Bacaan Yasin pertama, niatkan memohon dipanjangkan umur untuk mentaati segala perintah dan menjauhi larangan Allah SWT.

2. Bacaan Yasin kedua, niatkan mohon keluasan rezeki yang halal serta diberkati.

3. Bacaan Yasin ketiga, niatkan memohon ditetapkan iman yang sempurna sehingga meninggal dunia kelak.
Menurut sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang diceritakan oleh Sayidatina Aisyah r.a. bahawa pada malam Nisfu Sya’ban baginda mendirikan solat sehingga pagi. Baginda bersabda kepada Aisyah: “Malam ini adalah malam Nisfu (pertengahan) bulan Sya’ban”.

KESIMPULAN
Menghidupkan bulan Sya’ban termasuk Nisfu Sya’ban dengan ibadat seperti membaca al- Quran, bertaubat, beristighfar, berdoa, solat hajat dan sebagainya, adalah ibadah yang baik bagi mendekatkan diri kehadrat Allah SWT.
Yang menjadi pertikaian pihak-pihak tertentu ialah pengkhususan bulan atau hari tersebut untuk satu-satu ibadah, bukan pada pengisian atau aktiviti amalan yang dilakukan. Mudah-mudahan kita semua bersatu dan meningkatkan amal ibadah kita, meningkatkan ketaqwaan dan melakukan amalan. Menurut Imam Syafie r.a., jika sesuatu amalan yang membawa kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariah, adalah bid’ah hasanah.

Dato’ Hj. Abd. Majid bin Omar
Timbalan Mufti Selangor
Jabatan Mufti Negeri Selangor

2 Comments

  • sekhanas says:

    Terima kasih atas info keilmuannya, dan saya mohon izin mengcopynya. Semoga berguna dan mendapatkan pahala yang berlipat amin. Jika masih bisa diperbaiki mohon cuplikan Hadits disertai dengan bahasa Arabnya. Terima kasih.

  • Hadizah says:

    Assalammualaikum.
    Terima kasih atas info yang di berikan. dan saya memohon untuk copy dan paste artikal ini di blog saya. terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *